Mengangkat Nilai Kesukarelawanan, PALAPES Bersatu Demi Rakan Seperjuangan | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Mengangkat Nilai Kesukarelawanan, PALAPES Bersatu Demi Rakan Seperjuangan

Mengangkat Nilai Kesukarelawanan, PALAPES Bersatu Demi Rakan Seperjuangan

Ringkasan Artikel
Usaha ini memudahkan kadet menikmati hidangan dengan lebih teratur, sekali gus menjimatkan masa untuk kembali ke latihan. Saya gembira dapat menolong dan berharap pengalaman ini menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai kesukarelawanan demi masyarakat dan negara





Prihatin terhadap rakan seperjuangan yang bakal ditauliahkan, sekumpulan kadet dari 20 universiti awam berganding bahu menjadi sukarelawan kebajikan bagi membantu pengurusan makanan menjelang Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-43.

Selama empat minggu di Universiti Putra Malaysia (UPM), mereka berkhidmat tanpa mengenal penat lelah, memastikan lebih 3,500 individu yang terlibat dalam sesi raptai mendapat makanan tepat pada waktunya.



Bagi Nur Alia Maisara, 23, sukarelawan PALAPES UiTM, pengalaman itu bukan sekadar membantu mengagihkan makanan, tetapi menjadi medan pembelajaran berharga.

“Usaha ini memudahkan kadet menikmati hidangan dengan lebih teratur, sekali gus menjimatkan masa untuk kembali ke latihan. Saya gembira dapat menolong dan berharap pengalaman ini menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai kesukarelawanan demi masyarakat dan negara,” katanya.

Adam Daniel Syahid Abdul Qadir Syahul Hamid, 21, pula memilih untuk tidak pulang bercuti, sebaliknya mengabdikan masa menyertai sukarelawan.




“Kami belajar tentang disiplin, kerjasama dan kepentingan pengurusan masa. Walaupun mencabar, pengalaman ini mengajar kami bahawa setiap tugas kecil memberi kesan besar kepada kelancaran majlis,” ujarnya.

Lebih daripada sekadar menyediakan makanan, inisiatif ini memupuk semangat bergotong-royong dan mengukuhkan setiakawan sesama kadet. Ia juga menjadi inspirasi bahawa kesukarelawanan adalah asas pembinaan jati diri dan masyarakat yang prihatin.

Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-43 yang bakal berlangsung pada 13 September di UPM akan menyaksikan seramai 1,927 pegawai kadet dari 20 universiti awam seluruh negara menerima watikah tauliah.

Tarikh Input: 09/09/2025 | Kemaskini: 09/09/2025 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
W, (01:31:02am-01:36:02am, 10 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]