Ringkasan Artikel
Cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah turut mengancam kesihatan haiwan peliharaan, khususnya kucing, sekiranya aspek penjagaan diabaikan.
Oleh: Husnina Zahra Hadri

SERDANG, 9 April –Cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah turut mengancam kesihatan haiwan peliharaan, khususnya kucing, sekiranya aspek penjagaan diabaikan.
Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Khor Kuan Hua berkata, pemilik kucing perlu lebih peka terhadap keperluan asas seperti bekalan air, persekitaran dan tanda-tanda tekanan haba bagi mengelakkan risiko dehidrasi serta strok haba.
“Kucing juga akan mengalami rasa dahaga seperti manusia, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas. Oleh itu, pemilik perlu memastikan bekalan air bersih sentiasa mencukupi dan ditukar dengan kerap bagi menggalakkan kucing peliharaan kita minum.

“Air yang bersih sangat penting kerana kucing tidak gemar minum air yang telah lama dibiarkan. Semasa musim panas, pemilik juga boleh menambah ais bagi membantu menyejukkan air dan menarik minat kucing untuk minum,” katanya.
Tambah beliau, persekitaran yang sesuai dengan pengudaraan yang baik penting bagi memastikan keselesaan kucing serta mengelakkan pendedahan kepada haba berlebihan.
“Sekiranya kucing berada di dalam rumah, pastikan aliran udara mencukupi dan persekitaran selamat, termasuk tingkap yang dipasang jeriji besi bagi mengelakkan risiko haiwan keluar tanpa pengawasan,” jelasnya.
Prof. Madya Dr. Khor berkata, pemilik juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku kucing sebagai petunjuk awal tekanan haba seperti simptom tercungap-cungap, bernafas laju dan menunjukkan tanda stres.
“Kucing tidak berpeluh seperti manusia, jadi apabila badannya terlalu panas, ia akan cuba menyejukkan diri melalui pernafasan. Sekiranya ia berlaku, segera alihkan kucing ke tempat yang lebih sejuk dan tenang,” katanya.

Bagi kucing berbulu tebal, Prof. Madya Dr. Khor menyarankan pemilik untuk melakukan trim bulu secara sederhana bagi membantu mengurangkan haba, namun tidak memotong terlalu pendek bagi mengelakkan kesan sejuk pada waktu malam.
Tambah beliau, dalam kes yang lebih serius kucing yang mengalami strok haba mungkin menunjukkan simptom seperti tercungap-cungap berlebihan, air liur meleleh, lidah terkeluar serta kelihatan lemah atau stres.
“Jika keadaan ini berlaku, kucing perlu segera dipindahkan ke kawasan sejuk, pemilik boleh mandikan kucing seperti biasa dan letakkan mereka pada bilik berhawa dingin atau depan kipas sambil keringkan bulu dengan tuala untuk keluarkan haba sehingga kucing bertenang.
“Seandainya keadaan tidak berubah dalam tempoh 30 minit segera bawa ke klinik veterinar kerana ia boleh menjadi kes kecemasan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemilik agar tidak meninggalkan kucing di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh singkat kerana suhu dalaman kereta boleh meningkat dengan cepat dan membahayakan nyawa haiwan tersebut.
Tarikh Input: 09/04/2026 | Kemaskini: 09/04/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA