Landskap Terapi Hutan Mampu Kurangkan Tekanan, Suhu Bandar | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Landskap Terapi Hutan Mampu Kurangkan Tekanan, Suhu Bandar

Landskap Terapi Hutan Mampu Kurangkan Tekanan, Suhu Bandar

Article Summary
Landskap terapi hutan berpotensi menjadi antara pendekatan penting dalam membantu masyarakat menangani tekanan mental dan fizikal selain mengurangkan kesan haba akibat perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.


 

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

 

SERDANG, 26 Mei - Landskap terapi hutan berpotensi menjadi antara pendekatan penting dalam membantu masyarakat menangani tekanan mental dan fizikal selain mengurangkan kesan haba akibat perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.

 

 

Timbalan Dekan, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abd Shukor berkata, konsep itu bukan sekadar menyediakan kawasan hijau biasa, sebaliknya melibatkan reka bentuk landskap yang mampu memberi kesan positif kepada kesejahteraan manusia dan alam sekitar.

 

 

Beliau berkata, elemen seperti silara pokok, biodiversiti dan sumber air memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana yang lebih nyaman serta membantu mengurangkan tekanan mental akibat rutin harian dan beban kerja.

 

 

“Sebagai arkitek landskap, setiap elemen yang direka dalam kawasan hijau atau hutan perlu memberi impak kepada pengguna terutama dalam mengurangkan stres dan tekanan mental,” katanya.

 

 

Menurut beliau, kawasan yang mempunyai litupan pokok tebal mampu membantu menurunkan suhu persekitaran terutama di bandar yang berdepan fenomena pulau haba.

 

 

“Berdasarkan kajian, kawasan yang dilindungi silara pokok terutama di kawasan hutan bandar mampu mengurangkan antara 10 hingga 30 peratus haba, malah suhu persekitaran boleh turun sehingga 12 darjah Celsius,” katanya.

 

 

Beliau berkata, pembangunan lebih banyak kawasan hijau berasaskan tumbuhan tempatan atau native plants perlu diberi perhatian khusus terutama di kawasan bandar yang mengalami peningkatan suhu akibat pembangunan pesat.

 

 

Mengulas aspek kesihatan masyarakat, beliau berkata pelbagai kajian antarabangsa mendapati individu yang tinggal berhampiran kawasan hijau mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding mereka yang tinggal jauh daripada alam semula jadi.

 

 

Katanya, manfaat itu dapat dilihat dari peringkat awal kehidupan sehingga warga emas termasuk membantu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

 

 

“Kajian menunjukkan ibu yang tinggal berhampiran kawasan hijau melahirkan bayi dengan berat lebih baik, manakala warga emas yang kerap berada di kawasan hijau pula didapati mempunyai tekanan darah lebih rendah serta kurang risiko penyakit jantung,” katanya.

 

 

 

 

Beliau turut menjelaskan amalan terapi hutan atau forest bathing yang popular di Jepun, China dan Korea Selatan terbukti membantu mengurangkan tekanan mental, depresi serta meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

 

 

“Di Jepun, konsep Shinrin-yoku diamalkan secara meluas untuk membantu masyarakat menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan kerja.

 

 

“Pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung juga didapati dapat dikurangkan apabila seseorang sentiasa mengunjungi kawasan hutan,” katanya.

 

 

Selain membantu kesejahteraan manusia, landskap terapi hutan juga berupaya memulihkan ekosistem setempat melalui peningkatan biodiversiti dan pemulihan habitat flora serta fauna.

 

 

“Kepadatan pokok dan kanopi yang lebat membantu mengurangkan suhu udara melalui teduhan dan proses evapotranspirasi selain menyerap karbon dioksida.

 

 

“Apabila biodiversiti dipulihkan, flora dan fauna termasuk serangga serta hidupan liar akan kembali ke kawasan hijau menjadikan ekosistem lebih stabil,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dapat memberi lebih perhatian terhadap pembangunan kawasan terapi hutan di negara ini.

 

 

Katanya, kerjasama antara pihak berkuasa dan institusi penyelidikan penting bagi memastikan lebih banyak kawasan hijau bercirikan terapi dapat dibangunkan demi manfaat masyarakat.

 

 

“Saya berharap lebih banyak taman terapi dan kawasan hijau diwujudkan supaya rakyat tidak perlu bergerak jauh untuk menikmati manfaat alam semula jadi.

 

 

“Dengan akses yang lebih mudah, masyarakat boleh menjadikan aktiviti seperti berjalan kaki dan berbasikal di kawasan hijau sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat,” katanya.

Date of Input: 26/05/2026 | Updated: 26/05/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
W, (03:13:56pm-03:18:56pm, 26 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]