Alumni PALAPES, Model Insan Cemerlang Dalam Kerjaya Dan Kehidupan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Alumni PALAPES, Model Insan Cemerlang dalam Kerjaya dan Kehidupan

Alumni PALAPES, Model Insan Cemerlang dalam Kerjaya dan Kehidupan

Article Summary
Malaysia merupakan sebuah negara yang mementingkan aspek keselamatan dan perpaduan rakyat. Dalam usaha melahirkan warganegara yang berdisiplin, berketrampilan dan bersedia menyumbang kepada negara, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti awam dan swasta.


 

 

 

 

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim



Alumni Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bukan sekadar lambang disiplin dan patriotisme, malah menjadi model insan cemerlang yang berperanan sebagai jambatan antara universiti, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat.



Dengan pengalaman ketenteraan dan kepimpinan yang ditempuh semasa latihan, mereka bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran kerjaya, tetapi turut menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.



Menurut Alumni PALAPES Universiti Putra Malaysia (UPM), Kdr. Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Hasmadi Ismail, alumni memainkan peranan besar dalam mengukuhkan hubungan universiti dengan pelbagai pihak melalui perkongsian pengalaman dan nilai kepimpinan.



“Alumni boleh terlibat dalam program bimbingan pelajar, memberi ceramah motivasi, membantu menganjurkan aktiviti kemasyarakatan bersama universiti, serta menjadi jambatan hubungan dengan agensi kerajaan, badan beruniform atau sektor swasta.



“Kami juga boleh menyokong universiti dari segi jaringan kerjaya dan peluang latihan industri kepada mahasiswa,” katanya.



Selain menyumbang kepada universiti, alumni PALAPES turut berperanan penting dalam pembangunan negara dan masyarakat. Latihan yang diterima menjadikan mereka sentiasa bersedia digerakkan ketika kecemasan atau apabila negara memerlukan.



Kdr. Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Hasmadi menegaskan bahawa alumni juga merupakan duta universiti dan ikon kepimpinan kepada masyarakat kerana mampu menyebarkan nilai disiplin, patriotisme dan semangat cintakan negara.

 


Alumni turut berpeluang membimbing pegawai kadet yang masih dalam latihan dengan berkongsi pengalaman sebenar dalam kerjaya dan kehidupan selepas tamat pengajian.



“Dengan pengalaman yang ada, mereka boleh berkongsi strategi menghadapi cabaran, memberikan inspirasi serta menanamkan keyakinan diri kepada pegawai kadet.



“Bimbingan ini membantu menghubungkan latihan ketenteraan dengan keperluan dunia pekerjaan dan kepimpinan dalam masyarakat,” ujarnya.



Beliau menambah, pengalaman PALAPES memberikan kelebihan dalam kerjaya kerana latihan yang menekankan disiplin, kepimpinan serta ketahanan mental dan fizikal menjadikan alumni lebih berdaya saing dan mampu bekerja di bawah tekanan.



“Pengalaman PALAPES sering menjadi nilai tambah dalam permohonan kerja kerana ia membuktikan calon mampu mengurus cabaran dengan daya tahan yang tinggi.



“Mereka juga lebih yakin dalam apa jua bidang kerjaya kerana memiliki kemahiran membuat keputusan, bekerja dalam kumpulan, mengurus tekanan serta menjunjung nilai integriti dan patriotisme,” jelasnya.



Dalam pada itu, beliau menyatakan harapannya agar generasi pegawai kadet masa kini terus mengekalkan semangat perjuangan, disiplin dan kesetiaan kepada universiti, agama, bangsa dan negara.



“Saya berharap mereka bukan sahaja menjadi pemimpin berwibawa di kampus, tetapi juga pemimpin masyarakat selepas tamat pengajian.



“Generasi baharu ini diharapkan dapat meneruskan legasi PALAPES dengan lebih kreatif, relevan dengan cabaran semasa serta sentiasa berpegang kepada nilai kejujuran, amanah dan semangat patriotisme,” katanya.

Date of Input: 11/09/2025 | Updated: 11/09/2025 | aghniya

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
W, (03:39:57am-03:44:57am, 12 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]